Tuesday, July 15, 2008

TEH HIJAU, PILIHAN MINUMAN YANG SIHAT!

Minuman berkarbonat memang popular di kalangan pengguna. Hakikatnya, biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama — kaya dengan gula dan bahan aditif seperti agen pewarna dan bahan pengawet. Utusan Malaysia Okt 18, 2007 – “minuman berkarbonat mengandungi sehingga lapan sudu teh gula dalam setiap tin atau bersamaan dengan 300 hingga 400 kalori!” Pengambilan minuman bergas dalam kehidupan harian boleh mengakibatkan sindrom metabolik seperti berikut :
· Tekanan darah tinggi
· Peningkatan dalam paras gula darah (Diabetes)
· Lilitan pinggang yang lebih besar (Obesiti)
· Paras trigliserik (TG) yang tinggi
· Paras kolesterol baik (HDL) yang rendah

Asid fosforik yang juga terkandung dalam minuman bergas boleh mengurangkan ketumpatan tulang kita dengan menyingkirkan mineral kalsium daripada tulang. akibatnya kita akan menghidap penyakit osteoporosis atau menghadapi masalah tulang yang rapuh.

Menteri Kesihatan Malaysia berkata, sebanyak 37 peratus warga Malaysia adalah mempunyai berat badan berlebihan - TheStar Ogos 22, 2007. Selain itu, Malaysia juga merupakan negara dengan bilangan orang obes yang terbesar di rantau Asia, iaitu 25 peratus atau 6 juta daripada penduduknya. Angka tersebut telah melampaui bilangan orang yang obes di Jerman dan Perancis. Disamping itu, juga terdapat 2.1 juta orang menghidap penyakit diabetes akibat pengambilan gula yang berlebihan.

Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, dalam usaha memelihara kesihatan dan mencegah timbulnya masalah kegemukan dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya. Kita digalakkan mengambil 8 gelas air kosong sehari dan juga minuman berkhasiat seperti teh hijau. Ini kerana orang Okinawa di Negara Jepun yang banyak meminum teh hijau mempunyai jumlah penduduk yang berjangka hayat yang panjang iaitu sehingga 100 tahun, langsing dan hidup dengan sihat walaupun golongan lelaki di Jepun kuat merokok dan amalan meminum alkohol juga adalah secara berleluasa.

Terdapat beberapa jenis teh yang berlainan, contohnya teh hijau, teh oolong dan teh hitam. Walaupun kesemua teh itu adalah berasal dari spesis tumbuhan yang sama iaitu Camellia sinensis, tetapi teh hijau merupakan teh yang paling berkhasiat dan bermanfaat kepada kesihatan kita jika berbanding dengan kedua-dua teh tersebut. Ini kerana, daun teh hijau hanya mengalami langkah pemprosesan yang minimum serta tidak mengalami proses oksidasi/penapaian seperti yang berlaku pada teh oolong dan teh hitam. Justeru, kandungan antioksidan polifenol catechin dalam teh hijau adalah jauh lebih tinggi daripada jenis teh yang lain.

Teh hijau merupakan teh yang istimewa kerana ia kaya dengan kandungan antioksidan polifenol catechin, khususnya EGCG. EGCG merupakan catechin yang mempunyai aktiviti antioksida paling kuat di antara catechin yang lain. Selain itu, teh hijau juga kaya dengan vitamin A,E,C,K & B kompleks, asid amino dan garam mineral yang diperlukan oleh badan kita. Keberkesanan antioksidan polifenol catechin, EGCG dapat dipertingkat dengan kehadiran Vitamin C dalam teh hijau. Oleh itu, teh hijau mampu memberikan kesan yang positif kepada kesihatan manusia, iaitu ia dapat:
· Melindungi sistem kardiovaskular
· Mengawalatur paras gula darah
· Mengawalatur tekanan darah
· Menghalang pertumbuhan sel kanser
· Memperbaiki sistem pencernaan
· Meningkatkan sistem keimunan
· Anti- keradangan

Sebagai kesimpulannya, pilihlah minuman yang rendah dalam kandungan gula dan bahan aditif serta kurang diproses demi kesihatan anda sendiri dan orang yang disayangi!